Site hosted by Angelfire.com: Build your free website today!



  UTAMA                                               PORTAL BERITA              
BETAMEDONLINE
PERTANIAN...KEHIDUPAN...KESEJAHTERAAN
Disediakan oleh Panel Penulis Betamed ICT


Dunia hari ini sedang mengalami dan menghadapi krisis dan kepincangan kekurangan bekalan makanan.  Banyak Negara menghadapi masalah dan kesulitan untuk membekalkan makanan yang mencukupi kepada warganya.

Masyarakat antarabangsa membantu menghulurkan apa saja untuk meredakan kegawatan ini.  Kebanyakan kerajaan menjadikan usaha ini sebagai agenda utamanya.

Di Malaysia,  keadaan ini tidak membimbangkan,  kerana rakyatnya dengan gigih turut serta mencari jalan mengatasinya.

Kita perhatikan apakah yang mendorong masyarakat Malaysia turut serta dalam usaha yang boleh membawa kepada cukupnya bekalan makanan untuk semua.  Kita perhatikan pula keadaan Negara ini.   Walaupun usaha sedang dilaksanakan untuk membawanya ke gerbang Negara industri,  akan tetapi kita tidak lupa bahawa bumi bertuah ini pada asasnya ialah sebuah bumi pertanian ... yang subur dan boleh menghasilkan bekalan makanan yang mencukupi.   Dan dalam hal ini penghayatan kita terhadap pertanian adalah punca segala-galanya.

Kita sedar kaitan pertanian dengan kehidupan kita … dan masa depan kita. 

Pertanian pada asasnya adalah suatu usaha menghasilkan bahan-bahan makanan dengan cara bercucuk tanam,  menternak binatang,  memelihara dan menangkap ikan.  Fungsi pertanian pada peringkat awalnya ialah untuk memenuhi keperluan asas manusia iaitu makanan dan minuman.  Namun apabila meningkatnya tamadun manusia,  fungsinya telah bertambah kepada mengindahkan alam sekitar dan rekreasi.

Pertanian adalah salah satu tuntutan semula jadi manusia yang ditetapkan oleh Allah swt,  dan berfungsi untuk memenuhi tuntutan jasmani dan rohani manusia.  Oleh kerana Islam adalah sebuah agama yang merangkumi aspek dunia dan akhirat,  maka pertanian adalah salah satu dari tuntutan agama.  Ia menjadi satu tuntutan Fardu Ain bagi manusia yang hanya dengan cara bertani sahaja boleh menjamin kehidupannya.  Ia menjadi satu tuntutan Fardu Kifayah jika didapati sebahagian daripada anggota masyarakat terpaksa menjalankan tugas-tugas yang lain dalam menyempurnakan kehidupan mereka.  Dalam konteks dunia hari ini,  pertanian lebih merupakan satu tuntutan Fardu Kifayah oleh kerana manusia,  hasil dari perkembangan tamadun mereka,  terpaksa menumpukan kepada pengkhususan kerja dalam berbagai bidang,  seperti terkandung di dalam Al-Quran yang mempunyai maksud:


'Dialah yang menjadikan bumi bagi kamu;  mudah digunakan,  maka berjalanlah di merata ceruk rantaunya,  serta makanlah dari rezeki yang dikurniakan Allah;  dan ingatlah,  kepada Allah jualah tempat kembali kamu sesudah dibangkitkan hidup semula;  maka hargailah nikmatNya dan takutilah kemungkaranNya.'

Tidak boleh dinafikan,  bahawa walaupun kita sedang bergerak dengan pesatnya kearah sebuah Negara maju,  pada asasnya Negara kita ialah sebuah Negara pertanian.  Di mana juga,  kawasan-kawasan yang dihuni oleh produk pertanian adalah luas.  Jumlah insan yang terlibat dalam bidang pertanian pula adalah banyak.  Kearah mana juga mata memandang kita akan lihat terbentang di hadapan kita,  kawasan-kawasan tanaman seperti getah,  kelapa sawit,  padi dan lain-lainnya.  Tidak kurang juga dusun buah-buahan seperti durian,  duku,  rambutan,  limau,  manggis,  mangga,  pisang dan lain-lain lagi.

Begitu juga kawasan-kawasan yang ditanam dengan sayur-sayuran.   Inilah satu anugerah yang harus kita manfaatkan.

Dan inilah satu cara yang berkesan sekali bagi kita mengatasi krisis kekurangan bekalan makanan yang dihadapi.  Mungkin jika kita berlebihan,  kita dapat juga membantu yang kurang bernasib baik.

Usaha mencapai kemajuan dalam bidang pertanian memerlukan berbagai pendekatan saperti dari segi pengurusan,  ekonomi dan teknologi.  Allah swt telah pun memberikan banyak petunjuk bagi mencapai kemajuan dalam bidang pertanian sapertimana terkandung dalam ayat-ayat mengenainya dalam Al-Quran.

Bagaimana pun bidang pertanian di Negara ini perlulah disesuaikan dengan perekembangan dan perubahan yang berlaku di dunia hari ini.  Penggunaan pendekatan baru dan teknoloogi moden perlu dititikberatkan secara menyeluruh dalam pembangunan pertanian di Negara kita.

Bijak pandai pernah menyuarakan bahawa berbudi kepada tanah menghasilkan kepuasan jiwa yang tidak ternilai harganya.   Ada juga yang berpendapat bahawa selagi manusia perlukan makanan,  maka selama itulah usaha-usaha pertanian relevan dalam kehidupan.  Dengan lain-lain perkataan,  pertanian adalah satu usaha murni dilaksanakan,  demi kesejahteraan umat manusia seluruhnya.

Memandang kepada pendapat itu,  amat nyata bahawa bidang pertanian adalah satu bidang yang harus digalakkan perlaksanaannya,  kemajuannya dan pembangunannya.

BMI PORTAL BERITA  merupakan satu usaha untuk meneliti,  meninjau,  mengupas dan menganalisis berita dan peristiwa yang berlaku di sekeliling kita,  terutama yang berkait rapat dengan kehidupan seharian kita.  Kita akan melihatnya dari pelbagai perspektif,  tetapi penting sekali ialah hubungannya dengan kita .. pengaruhnya terhadap kehidupan kita dalam usaha kita menghadapi zaman-zaman yang mendatang.

Kita sedar bahawa kerajaan,  di negeri mana juga kita berada,  sedang berusaha untuk mencari jalan membawa satu penghidupan yang lebih sejahtera dan cemerlang kepada kita.  Pelbagai program dan aktiviti dirancang dan dilaksanakan untuk tujuan ini.   Akan tetapi,  kita sebagai warga yang bertanggungjawab,  dan logik sekali sebagai umat manusia yang dikurniakan oleh Allah swt dengan akal fikiran dan kebolehan istimewa,  harus juga bertindak sama-sama menyelesaikan apa juga masalah yang kita hadapi.

Halaman ini akan cuba membentangkan bagaimana keistimewaan ini dapat diperkasakan  -  peranan apakah yang harus kita lakukan.  Adakah kita semata-mata harus bergantung kepada kerajaan kita sahaja,  atau apa?  

Halaman ini akan mendapatkan pandangan dan pendapat dari semua yang mengikuti perkembangan dunia hari ini,  dan juga dari mereka yang ahli dalam bidang-bidang tertentu. 

Pendekatan yang diambil di dalam halaman ini ialah bahawa apa juga yang berlaku di sekeliling kita hari ini,  mempunyai hubungan dan kaitan yang rapat dengan jiwa dan kehidupan kita.  Justeru kita juga harus menyumbangkan apa saja,  terutama buah fikiran dan inisiatif untuk sama-sama membantu mengatasi masalah yang mungkin kita hadapi di hari muka.

PENDIDIKAN - SATU PERJUANGAN
Disediakan oleh Panel Penulis BetaMed ICT.


Rasanya kita sudah mulai sedar,  dan minda kita mula terbuka,  kepada hakikat bahawa ilmu pengetahuan itu adalah penting dalam hidup kita.

Dalam dunia di alaf baru hari ini,  kita sedang berlumba untuk menentukan bahawa kita adalah antara yang mempunyai ilmu untuk hidup,  atau kita ini adalah yang berilmu.

Perlumbaan dan perjuangan ini akan berterusan,  kerana kita juga sedar bahawa tanpa ilmu kita akan ketinggalan,  dan kita dikalahkan dalam perlumbaan ini.

Melalui pendidikan,  pembelajaran  dan  proses menimba ilmu pengetahuan,  kita akan dapat memenuhi keperluan hidup dengan pengetahuan yang sangat diperlukan.  Ini semua kerana usaha mencari ilmu pengetahuan adalah penting dan merupakan satu jihad.

Pendidikan sebagai satu subjek sains tidak boleh dipisahkan dari tradisi pendidikan yang wujud sebelumnya.   Pendidikan ialah satu respon yang logik kepada perjuangan untuk hidup,  dan telah berkembangan sebagai satu bentuk budaya hidup.   Yang dewasa telah mendidik yang muda dalam masyarakatnya,  dalam ilmu dan kemahiran yang perlu ada padanya ketika itu,  dan kemudian diturunkan kepada keturunan selepasnya.   Budaya ini telah melalui perubahan,  dan manusia sebagai satu spesis bergantung kuat kepada cara menyebarkan pengetahuan dengan sistem ini.

Dalam masyarakat pada zaman sebelum datangnya literasi,  penyebaran pengetahuan telah dilaksanakan secara oral atau perkataan,  dan dengan cara mengajuk-ajuk.  Kaedah bercerita begini terus diamalkan dari satu generasi ke satu generasi.  Bahasa oral atau perkataan ini,  telah berkembang kepada bahasa simbol dan kemudiannya bahasa huruf.

Dan manakala budaya ini mengalami evolusi,  dan manusia cuba menyampaikan pengetahuan di luar kebolehan berkomunikasi,  perdagangan,  mengumpul makanan,  peraturan agama dan lain-lainnya,  maka pendidikan secara formal,  dan kemudian persekolahan pun dimulakan.

Pendidikan formal di Negara kita bermula sebelum Perang Dunia Kedua.  Sejak itu perkembangannya setanding dengan yang terdapat di Negara-negara maju dunia.   Hari ini terdapat sekolah-sekolah rendah dan menengah di segenap ceruk dan rantau Negara.  Begitu juga kehadiran pusat-pusat pengajian tinggi membuktikan kemajuan pesat bidang pendidikan Negara.
Akan tetapi bagaimana pula dengan keadaan kita sendiri.  Adakah pendidikan anak-anak kita menjadi agenda utama dalam kehidupan kita?  Atau,  adakah pendidikan itu hanya merupakan satu dari aktiviti yang harus kita lakukan kerana kita adalah ibubapa kepada kanak-kanak yang perlu ke sekolah?  Atau adakah pendidikan merupakan satu beban kepada kita?

Walau apa pun,  kita perlulah menghayati apakah itu pendidikan.  Apakah peranan kita?  Apakah yang perlu kita ketahui mengenai pendidikan?  Dan bagaimanakah harus kita laksanakan tanggungjawab kita sebagai ibu bapa?  Tahukah kita bagaimanakah anak-anak kita melalui pembelajarannya di sekolah …. prestasinya …. pencapaiannya.   Tahukah kita siapakah yang perlu dipertanggungjawabkan mengenai pendidikan anak-anak kita,  adakah kita sendiri atau diserahkan bulat-bulat kepada para guru disekolah?   

Rasanya perlu juga kita lihat falsafah pendidikan seperti yang termaktub di dalam Dasar Pendidikan Negara,  iaitu  'Pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha berterusan kearah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek,  rohani,  emosi  dan jasmani,  berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan.   Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu,   bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan Negara.'

Pada besarnya,  sistem pendidikan diwujudkan di mana Negara juga pun,  untuk menyediakan pendidikan dan latihan untuk kanak-kanak dan remaja.  Satu sukatan pelajaran pula menentukan apa yang perlu diketahui,  difahami  dan boleh dilakukan sebagai hasil pendidikan.

Dan pendidikan ialah satu konsep yang luas yang merangkumi semua pengalaman yang melaluinya manusia boleh mempelajari sesuatu.

Hari ini,  kita sedang berada dalam satu suasana perjuangan untuk mencapai matlamat dan cita-cita yang akan menghasilkan anak-anak yang berpendidikan dan yang berilmu pengetahuan.  Kita mahu mereka melalui system pendidikan yang menyeluruh.  Kita tidak mahu mereka sekadar mengejar A, B atau C sahaja.  Kita tidak mahu juga mereka hanya mempunyai kertas-kertas dalam bentuk diploma atau ijazah.   Dengan serius kita sedang memikirkan tentang keadaan masa depan mereka.  Kita mahu mereka lebih berjaya dan lebih cemerlang dalam kehidupan.  Kita ingin mereka mencorakkan kehidupan dengan berpandukan satu strategi yang unggul dan munasabah.

Masa depan itu akan tiba.   Dan bagaimanakah hendak kita sediakan mereka?  Inilah perjuangan kita.  Menyediakan anak-anak kita melalui pendidikan yang menyeluruh,  yang total,  untuk menghadapi masa depan yang amat mencabar.


BMI RADIO      PRODUK DESA       MERDEKA51       PELANCONGAN      DEWAN KENAMAAN       BMI TV
DI SEBALIK BERITA

MUSIM PERAYAAN

Menjelang hujung tahun ini,  kita akan menyaksikan beberapa perayaan yang akan disambut oleh masyarakat Malaysia.   Terdekat sekali ialah sambutan ulang tahun Kemerdekaan Negara yang ke 51.  Ini diikuti pula oleh perayaan Hari Raya Aidilfitri pada awal bulan Oktober.  Kemudian menyusul perayaan hari Deepavali pada penghujung bulan Oktober.  Dalam bulan Disember  kita menyaksikan dua perayaan iaitu Hari Raya Aidiladha dan perayaan hari Christmas.   Tidak salah kalau dikatakan bahawa Negara kita Malaysia ialah sebuah 'Negara perayaan'.

Yang uniknya sambutan tiap perayaan ini disertai oleh semua masyarakat berbilang kaum yang menghuni tanah bertuah ini.   Tiap kaum sudah pun menganggap perayaan-perayaan ini sebagai yang harus disertai bersama.  Inilah yang mewujudkan suasana  harmoni,  toleransi,  perpaduan,   saling faham memahami dan menghormati antara satu sama lain.   Keadaan inilah juga yang menyebabkan kukuhnya ikatan persaudaraan di kalangan rakyatnya. 

Tidak ada Negara di dunia antarabangsa,  yang mempunyai suasana dan senario seperti ini,  baik di barat atau pun di timur,  baik di kalangan Negara maju mahu pun yang sedang membangun.

Apakah yang menjadi faktor utama yang menghasilkan suasana ini?   Tidak lain ialah sifat ingin menumpukan perhatian membina sebuah Negara dan bangsa yang maju, stabil  dan aman damai.  Kerana kaedah inilah yang dapat membawa Negara terus membangun  dan   mencapai hasrat dan cita tiap insan di dalamnya.

Suasana aman damai di Negara hari ini,  telah memperlihatkan agenda di sebalik tiap program pembangunan yang dirancang dan dilaksanakan oleh pemerintah.

Tiap anggota masyarakat,  dengan serius memainkan peranan mereka iaitu dengan menentukan bahawa segala usaha dihayati kearah mewujudkan sebuah Negara yang boleh digelar sebagai 'the doyen of peace and stability' di kalangan Negara dunia.   Kita sebagai warga Malaysia berasa bangga dan megah dengan keadaan ini,  dan kita akan terus memupuk dan memeliharanya.

Inilah cita-cita mulia dan murni yang terpahat di hati sanubari kita.


SUASANA PEPERIKSAAN


Kita tahu bahawa peperiksaan ialah satu kaedah untuk mengukur kecekapan,  prestasi dan kemajuan seseorang itu.  Kita tahu juga bahawa peperiksaan ialah bagi menentukan hala tuju kita untuk masa depan.    Akan tetapi peperiskaan  juga membawa pelbagai perasaan,  khususnya emosi,  di kalangan yang terlibat di dalamnya.

Hari ini perkataan 'peperiksaan' hangat diperkatakan,  terutama di kalangan ibu bapa dan masyarakat pelajar. 

Hanya beberapa bulan sahaja lagi,  suasana peperiksaan akan menyelubungi tiap anggota masyarakat di Negara ini.  Pada penghujung tahun ini tibalah masa peperiksaan.   Ada yang akan menduduki peperiksaan UPSR.  Ada pula yang akan mengadu kebolehan dalam peperiskaan PMR.  Kemudian akan muncul pula peperiksaan SPM dan STPM.   Bukan sahaja para pelajar yang terlibat di dalamnya,  bahkan juga ibu bapa,  penjaga dan kaum keluarga anak tersebut,  akan merasai bahang peperiksaan ini.  

Pelbagai kaedah dan cara akan diajukan kepada bakal calon bagi menentukan kejayaan cemerlang di dalam peperiksaan yang akan dihadapi.   Ada ibu bapa yang menentukan bahawa menjelang peperiksaan,  anak-anak mereka dikecualikan dan dilarang  bermain,  menonton tv,  bersiar-siar dan sebagainya.  Pendek kata  mereka mahu anak-anak ini menumpukan sepenuh perhatian kepada mata pelajaran yang akan diperiksa kelak.  Mereka mahu anak-anak ini melupakan segala-galanya dan mesti menumpukan seluruh waktu terhadap pelajaran.

Ada juga di antara ibubapa yang mendesak anak-anak mereka mengulang kaji hingga ke lewat malam atau hingga ke subuh. 

Dan ada pula antara mereka dengan tergesa-gesa menghantar anak-anak mereka mengikuti klas-klas tambahan atau tuisyen.

Dalam suasana seperti ini,  mungkin akan timbul soalan,  mengapakah pada saat akhir ini baru diperlukan anak-anak itu menumpukan sepenuh tenaga dan perhatian mereka terhadap pelajaran.  Apakah sebelum ini pelajaran mereka  telah diabaikan,  dan sikap tidak ambil kisah bermaharajalela?   Apakah dalam beberapa hari yang tinggal sebelum peperiksaan tiba,  dapat anak-anak ini mempelajari semua mata pelajaran sepanjang tahun?

Inilah keadaan yang selalu berlaku  di kalangan sebilangan ibu bapa.   Sepanjang tahun mereka kurang menumpukan perhatian kepada pelajaran anak-anak mereka. 

Kepada sebilangan ibu bapa ini,  memadailah mereka berperanan membawa anak-anak mereka ke sekolah dan mengambil anak-anak ini pulang apabila tamat sesi sekolah.  Inilah penglibatan mereka dalam pelajaran anak-anak mereka.   Selain dari itu,  tumpuan mereka adalah kepada lain-lain aktiviti kehidupan,  yang dirasakan lebih penting,  khususnya untuk menambah pendapatan untuk keluarga.

Kita tidak boleh menyalahkan sikap seperti ini,  tetapi kita harus menentukan keutamaannya.   Untuk masa kini,  usaha menambah pendapatan keluarga adalah penting,  tetapi rasanya penting juga usaha menentukan masa depan anak-anak kita.

Rasanya keadaan yang seimbang amat diperlukan dalam hal ini.  Keseimbangan tumpuan kepada ehwal pelajaran anak-anak dan memacu kehidupan yang lebih baik,  adalah sama pentingnya.

SEJARAH DAN WARISAN  -  ASAM GARAM HIDUP
Disediakan oleh Sidang Pengarang Betamed ICT


Negara kita sudah pun merdeka selama 51 tahun sekarang.   Sejarah perjuangan dan kemudian pembangunannya  mewarnai hidup kita warganya.  Ini tidak boleh kita nafikan.   Kehidupan kita hari ini,  dan yang akan kita hadapi di masa hadapan sudah semestinya dipengaruhi oleh apa yang telah kita lalui dalam sejarah.   Apa yang kita alami dan nikmati hari ini,  adalah warisan peninggalan hasil usaha dan perjuangan mereka yang terdahulu dari kita.

Akan tetapi tahukah kita peranan yang dimainkan oleh sejarah dan warisan dalam kehidupan kita.

Dalam tahun 1828 sebuah kamus susunan Noah Webster memberi definisi bahawa sejarah sebagai satu kompilasi fakta mengenai satu-satu tempat atau Negara  -  satu pembentangan maklumat dan data berkaitan peristiwa-peristiwa yang berlaku mengikut waktu,  sebab-sebab ianya berlaku dan kesannya.

Tidak boleh dinafikan bahawa sejarah perlu difahami dan dihayati.  Jika tidak ianya hanyalah merupakan satu mata pelajaran yang patut dipelajari untuk satu ujian atau pemeriksaan di sekolah semata-mata.  Untuk tujuan ini, banyak yang perlu diketahui.  Antaranya kisah-kisah di sebalik satu-satu peristiwa itu,  suasana semasa ianya berlaku,  keadaan masyarakat ketika itu,  hasrat dan pemikiran anggotanya,  sikap mereka dan seumpamanya.   Pendek kata untuk mengetahui dan menghayati sejarah,  perlulah kita ketahui apa yang dilakukan dan mengapa.

Hingga kini,  kita tidak begitu prehatin terhahdap sejarah Negara kita.  Kita tidak menganggapnya penting.  Kita lebih mengambil sikap  'taking things for granted'.

Kita lihat Negara kita  …  Negara yang sedang pesat membangun. Dari sebuah Negara yang hidupnya berasaskan pertanian,  ianya berubah wajah kepada sebuah Negara industri dan teknologi tinggi.

Sejarah telah banyak mengajar Malaysia menjalani hidupnya.   Pengalamannya dari awal kehidupannya …  pengalamannya di bawah penjajahan Portugis,  Belanda,  Inggeris  dan  Jepun … dan sebelum itu pemerintahan Sri Wijaya,  menyebabkan ia berfikir dan melaksanakan strategi untuk memajukan diri dengan beracukan keadaan setempat  … senario setempat,  corak pemikiran,  kebolehan,  keazaman,  kegigihan,  kewibawaan dan  kebijaksanaan warganya.

Kita perhatikan kaitan peristiwa-peristiwa sejarah dengan pembangunan Negara  …  pembinaan infrastruktur,  pemuliharaan sungai-sungainya,  penerokaan kawasan-kawasan untuk pertanian,   pembukaan kawasan-kawasan penempatan baru,   pembesaran Bandar-bandar,   tumpuan kepada pusat-pusat pengajian,  industri  dan  sebagainya.   Kita memang mulai sedar pengaruh sejarah terhadap ini semua.

Perjuangan pahlawan dan pemimpin,  pemikiran tokoh-tokoh ilmuan,  usaha dan kegigihan pengusaha di masa lampau  …  semua ini menjadi pemangkin dan pendorong kepada kita hari ini untuk membina dan membawa Negara ke satu tahap yang lebih cemerlang.

Kebangkitan semangat patriotisme telah banyak membantu kita mencorakkan hidup hari ini.  Kezaliman pemerintahan Jepun,  penentangan terhadap usaha Inggeris menubuhkan Malayan Union,  dan banyak lagi telah menyemarakkan semangat ini.

Begitu juga peristiwa-peristiwa sejarah seperti Perjanjian Pulau Pangkor,   penyerahan Pulau Pinang kepada British,  peristiwa Pasir Salak,  peristiwa Bukit Kepong,  peristiwa 13 Mei,  pengasingan Singapura dari Malaysia,  dan banyak lagi,   mempengaruhi perjalanan hidup kita hari ini.   Perstiwa-peristiwa ini adalah pengajaran yang tinggi nilainya kepada kehidupan bangsa.

Tidak boleh dinafikan juga bahawa kehidupan hari ini dicorakkan oleh keadaan masa silam.   Oleh hal yang demikian perlulah pula sejarah dihayati.  Amat pentinglah ia diketahui dan didalami.

Cuba kita lihat sejarah dunia - sejarah manusia - terutama sejarah tamaddun, demokrasi,   penemuan perubatan,   sains dan teknologi,   penerokaan angkasa lepas dan lain-lainnya.    Semua ini mempengaruhi hidup manusia -  juga Malaysia.

Sebagai contoh,   penemuan sains dan teknologi telah membawa Malaysia ke zaman era teknologi …  mencetuskan idea industrialisasi  dan  menyediakan diri untuk zaman globalisasi.

Maka amat sesuailah sejarah dipelajari,  difahami  dan  dihayati.  Amat perlulah sejarah dimasyarakatkan.     Masyarakat harus mengetahui ehwal sejarah,  terutama sekali sejarah Negara kita sendiri.   Bermula dari sinilah dapat kita melangkah kehadapan dengan penuh yakin dan tabah untuk menghadapi cabaran-cabaran yang menanti kita di masa hadapan.

Sememangnya  sejarah adalah asam garam dalam kehidupan kita.


ILMU PENGETAHUAN MENYEDIAKAN LALUAN
Disediakan oleh Sidang Pengarang Betamed ICT

Hari ini segala-galanya dalam kehidupan kita bergantung kepada ilmu pengetahuan.  Tiap tindakan yang kita ambil,  tiap aktiviti yang kita laksanakan adalah berlandaskan kepada ilmu pengetahuan …. dan dipengaruhi oleh ilmu pengetahuan.   Ilmu pengetahuan adalah terpenting dalam kita hidup di alaf baru ini.  Apa juga yang kita lakukan,  secara langsung atau tidak langsung,  mempunyai ilmu pengetahuan sebagai latarbelakangnya.

Pendek kata,  ilmu pengetahuan memainkan satu peranan yang tidak ternilai pentingnya.    Ianya  memang  relevan  dalam  kehidupan  kita,   dalam usaha kita  menghadapi  zaman  mendatang  yang  lebih kompleks  dan  mencabar.   Tamaddun manusia wujud seiring dengan kemunculan ilmu pengetahuan.

Rasanya tidak salah jika dikatakan bahawa inilah yang menyebabkan mengapa tumpuan perhatian diberikan sepenuhnya dalam usaha membawa ilmu pengetahuan ke dalam kehidupan manusia hari ini.

Di Negara kita,  usaha memberi suntikan ilmu pengetahuan kepada insane penghuninya mengambil tempat utama dalam agenda pembangunan Negara,  bangsa  dan  masyarakatnya.  Jumlah wang yang besar disediakan untuk menentukan ilmu pengetahuan sampai,   diterima  dan  dinikmati oleh anggota tiap masyarakatnya.   Sekolah-sekolah dibina dan pusat-pusat pengajian tinggi disediakan sebagai tempat di mana ilmu pengetahuan dapat ditimba,  yang pada akhirnya boleh dimanfaatkan oleh warganya demi kesejahteraan dan kecemerlangan hidup.

Sememangnya ilmu pengetahuan adalah yang utama dalam penyediaan infrastruktur hidup manusia. 

Ilmu pengetahuan,  melalui saluran pendidikan dan pembelajaran,  akan dapat menyempurnakan hidup kita.

Dalam soal ini kita perlu sedar bahawa pendidikan,  antara lain hendaklah bertujuan untuk membangun dan memajukan personaliti atau sifat tiap individu dalam konteks pembangunan masyarakat.   Hanya dengan demikian,  kepentingan individu itu dan juga masyarakat dapat dilayan dengan sebaiknya.

Pemimpin India,  MAHATMA GANDHI,  pernah berkata:  "Pendidikan adalah satu proses melatih dan memajukan ilmu pengetahuan,   skill,   minda   dan   watak seseorang itu."   Seorang ahli falsafah Barat,  SOCRATES,  pula berpendapat:  "Ilmu pengetahuan ialah kuasa yang dengannya boleh dilakukan sesuatu."  Ilmu pengetahuan hendaklah relevan dengan situasi semasa dalam kehidupan.

Pembangunan watak atau sifat perlulah juga dijadikan satu dari tujuan utama dalam bidang pendidikan.   Kita harus memajukan keberanian,  kekuatan,   dan  keinginan berusaha kearah matlamat yang lebih besar.  Jika kita berjaya membina atau memajukan perwatakan seseorang individu itu,  maka masyarakat akan mendapat manfaat darinya.

Keutamaan pada tanggungjawab seorang guru itu,  bukan hanya membina kekuatan fizikal,  bukan juga kekayaan ilmu pengetahuan,  atau kesopanan perasaan,   tetapi lebih penting ialah kekuatan perwatakan atau  'strength of character'.  Pembangunan watak seseorang individu itu tidak seharusnya bersendirian.   Perwatakan ialah satu kualiti minda.   Pembangunan watak termasuk latihan dan usaha mendisiplinkan minda dan membina tingkah laku moral seseorang itu.

Sistem pendidikan yang menitikberatkan kebolehan akademik,  belum lagi dapat menentukan pembangunan watak yang sempurna.  Manakala berdepan dengan tugas mengambil tindakan,   kekuatan yang diperlukan amat kurang.  Telah didapati bahawa satu-satu Negara itu tidak boleh berjaya di arena antarabangsa jika sifat atau perwatakan yang baik tidak didapati di kalangan warganya.

Memandang kepada hakikat ini,  maka pembangunan seseorang individu itu dalam semua aspek adalah diperlukan untuk mewujudkan satu suasana pembangunan insan yang menyeluruh.

Falsafah pendidikan di Malaysia seperti termaktub di dalam Dasar Pendidikan Negara menegaskan:        'Pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha berterusan kearah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insane yang seimbang dan harmonis dari segi intelek,  rohani,  emosi dan jasmani   berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan.   Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu,   bertanggungjawab  dan  berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan Negara.'

Keadaan ini perlu kita fikirkan bersama.   Di alaf baru hari ini,  kita sedang berlumba untuk menentukan bahawa kita adalah antara yang mempunyai ilmu untuk hidup,  atau kita ini adalah antara yang berilmu.   Perlumbaan dan perjuangan ini akan berterusan,   kerana kitaq juga sudah sedar bahawa tanpa ilmu kita akan ketinggalan,  dan kita akan dikalahkan  dalam perlumbaan ini.

All Rights Reserved © Betamed ICT 2008
TINDAKAN BESTARI
Disediakan oleh Sidang Pengarang Betamed ICT


Dalam kehidupan kita,  tiap hari kita mengambil tindakan dan membuat keputusan.   Dari sekecil perkara,   seperti apakah minuman kita di sebelah pagi sebelum bertolak keluar rumah mencari rezeki,  kepada yang besar,  seperti apakah perancangan yang harus kita lakukan untuk menambah pendapatan bulanan,   kita perlu mengambil tindakan dan membuat keputusan.

Bukan kita yang dewasa sahaja yang mempunyai tugas tersebut,   malah anak kecil kita juga perlu melalui aktiviti yang sama.   Cuma berat ringan keputusan yang diambil,   menjadi perbezaan.

Hari ini,  tiap saat kita dengar kisah tindakan dan keputusan yang diambil oleh orang-orang yang lebih besar dan lebih berpengaruh dari kita.   Pemimpin-pemimpin kita perlu mengambil tindakan terhadap sesuatu untuk masyarakat,   bangsa   dan   Negara.    Ada keputusan yang disukai dan ada juga keputusan yang tidak disukai.   Ini adalah lumrah alam.  Bak kata pepatah Inggeris  'Heavy is the head that wears a crown'  atau dalam bahasa Melayunya bermaksud  'beratlah kepada yang menjunjung mahkota'.

Walau apa pun,  tindakan dan keputusan,  adalah dua perkara yang sudah menjadi darah daging kepada kita,   terutama dalam kehidupan bertamaddun hari ini.

'Decision making'  atau membuat keputusan,  adalah sinonim dengan kedudukan atau status kita,   apatah lagi jika kita memegang jawatan atau tanggungjawab sebagai seorang  'kepala'   atau   'ketua'   atau   'pemimpin'.

Aktiviti ini membawa bersamanya pelbagai masalah.   Memang sukar untuk kita mendapat persetujuan dari apa juga keputusan atau tindakan yang kita ambil.  Walau pun tindakan yang kita ambil itu,   pada pandangan kita,   akan membawa banyak faedah dan manfaat kepada yang terlibat,    akan tetapi ada juga yang kurang atau tidak menyetujuinya.    Maklumlah,   manusia rambut mungkin sama hitam,   hati atau perasaan adalah berlainan atau mempunyai perbezaan.

Dalam hal ini,  kita hendaklah sedar bahawa jika tindakan yang kita ambil itu adalah dengan bermotifkan kebaikan,  kejujuran dan keikhlasan,  maka fikiran kita akan berada dalam keadaan aman dan tenang.    Rasa bersalah dan kelam kabut akan mendorong kepada fikiran yang tidak tentu arah yang akan me nghasilkan tindakan yang salah.

Ada yang berkata bahawa kadangkala terdapat mereka yang mempunyai rasa cemburu,  permusuhan  dan  benci terhadap kita,   tetapi jika kita sentiasa mempunyai sifat yang baik terhadapnya  dan  tidak mempunyai perfasaan buruk sangka,  dan kita tidak pula bertindak selaras dengan sifat-sifat negatif itu,  maka perasaan ini terdahap kita akan berubah juga pada satu ketika nanti.   Mungkin ia mengambil masa,  dan perlu kita berikhtiar kearahnya.

Ada juga yang berpendapat bahawa jika tiap tindakan itu dilaksanakan dengan rasa,  maksud  dan  motif yang baik,   maka akan wujudlah kebolehan kita untuk menyatakan yang terbaik berpunca dari dalam jiwa kita sendiri.   Ini dengan sendirinya akan membantu kita mewujudkan satu suasana dan perhubungan baik antara kita dengan alam sekeliling.

Berbalik kita kepada soal 'membuat keputusan atau mengambil tindakan' tadi.  Satu tindakan atau keputusan yang diambil akan membayangkan sifat dalaman dan niat seseorang pembuat keputusan itu.

Jika tindakan itu disertai dengan unsure-unsur kebaikan,  maka ia secara otomatik akan menjana satu suasana yang aman dan tenteram.   Jika sebaliknya,  maka suasana yang dihasilkan juga akan membawa kemudaratan.  Ini membawa swaya kepada hakikat bahawa manakala niat kita bersih,  maka akan tercetuslah keamanan dan ketenteraman.   Jadi tiap seorang dari kita perlulah mengkaji dan memahami keikhlasan dalam jiwa kita sendiri.  Ini seharusnya dijadikan teman kepada apa juga tindakan atau keptusan yang hendak kita ambil dalam kehidupan seharian kita.

Manakala keadaan fizikal dan minda kita bersih,  maka aktiviti dan tindakan yang kita ambil pun bersih dan akan dianggap mulia.   IIni seterusnya akan menyemarakkan keyakinan terhadap diri kita.   Dan jika ianya disertai dengan inisiatif dan suasana kegembiraan dalam melaksanakan tiap tugas dan tindakan itu,  kejayaan akan muncul.   Jika ini berlaku,  maka tidak akan ada kelak sebarang tindakan yang akan membawa masalah.

Jika kita lihat suasana di keliling kita hari ini,   dan perhatikan tindakan dan keputusan yang telah dan sedang diambil oleh mereka yang berwajib,  beberapa soalan akan timbul difikiran kita.   Apakah tindakan dan keputusan ini mendatangkan makna dan faedah kepada hidup kita?  Dan bagaimanakah tindakan dan keputusan itu dicapai?   Apakah suasana di sebalik keputusan dan tindakan yang diambil ini?   Apakah yang mendorong penghasilannya?

Soalan-soalan ini sudah semestinya bermain difikiran kita,  terutama kita hidup dalam dunia yang penuh tamzddun dan dalam suasana demokrasi pula.  Tiap tindakan dan keputusan yang diambil,   memang mempunyai hubung kaitnya dengan kehidupan kita.

TAMADDUN MANUSIA
Disediakan oleh Sidang Pengarang Betamed ICT

Pembangunan dan kemajuan yang dialami oleh tamaddun manusia,  membawa bersamanya pelbagai ilmu pengetahuan,  seiring dengan idea dan konsep baru dalam menghadapi kehidupan dan cabaran hidup.   Tiap satunya mempunyai kaedah dan cara ianya dilaksanakan,  yang tersendiri.   Ini semua dihasilkan oleh fikiran dan minda yang telah mengalami berbagai bentuk dan peringkat pembangunan dan kemajuan.   Pemikiran manusia bukanlah lagi berada pada tahap yang wujud di zaman pra sejarah dahulu  …. simple dan mudah.   Sememangnyalah terdapat perubahan-perubahan sesuai dengan keadaan semasa manusia itu sendiri.

Ini adalah satu hakikat.   Dan ini adalah satu keadaan yang menghasilkan munculnya pelbagai strata manusia dalam senario kehidupannya.

Apabila tercetus konsep pembelajaran dan pendidikan,  maka keadaan ini telah menghasilkan pula perbezaan di antara strata-strata yang telah wujud itu.   Terdapatlah golongan-golongan yang berilmu,  yang pandai,  yang cerdik  dan yang berwawasan.   Sambil itu wujud juga golongan-golongan yang kurang berilmu atau kurang berpengetahuan.   Ini telah menghasilkan timbulnya jurang yang membezakan satu golongan dengan golongan yang lain.

Dan ini juga telah mewujudkan manusia yang pintar,   pandai,   cerdas   dan  berakal fikiran.

Masalah perhubungan di antara manusia,   dipercayai mula dikenalpasti manakala kumpulan bijak pandai ini muncul.

Kumpulan ini mula mengatur langkah untuk menjadi pemimpin,  atau juara  yang mahu mewakili yang lain dalam menghadapi kehidupan seharian mereka.  Mereka mula menyediakan peraturan-peraturan,  yang biasanya akan mengekalkan kedudukan mereka dalam golongan berkaitan.

Akan tetapi tidak boleh dinafikan wujud juga di kalangan mereka ini,  insan-insan yang benar-benar prehatin terhadap kebajikan anggota kumpulan yang kurang berilmu ini.  Insan seperti ini banyak terdapat dalam sejarah.  Insan yang berusaha membawa kebahagiaan dan kesejahteraan hidup kepada manusia sepertinya.   Mereka melaksanakan apa juga yang perlu,  membuat kajian,  penyelidikan  dan  seumpamanya,   yang hasilnya membawa faedah kepada manusia.   Sumbangan dan pengorbanan mereka terhadap usaha mewujudkan kehidupan yang lebih baik kepada manusia tidak ada tolok bandingnya.

Di Negara kita,  ramai manusia seperti ini telah membantu kita  hidup dengan penuh kejayaan  dan  kesempurnaan hidup.

Dan kemunculan dua jenis manusia inilah,   yang menyebabkan timbulnya kaedah-kaedah pertadbiran dan pengurusan yang berbagai bentuk.   Dan dua jenis ini pula  telah mengumpulkan pengikut-pengikut mereka sendiri,  yang masing-masing sanggup memperjuangkan apa juga ideologi dan cara hidup yang dikemukakan.  Biasanya ideologi yang diperkenalkan ini,  kononnya adalah untuk kebaikan dan kepentingan pengikut-pengikut ini.   Sedangkan pada hakikatnya,  keadaan ini tidak seperti yang dibayangkan.

Inilah yang menghasilkan keadaan tidak stabil dan tidak tenteram di kalangan manusia.

Cuba kita bandingkan keadaan ini dengan keadaan semasa yang wujud di kalangan masyarakat kita hari ini.   Rasanya ada persamaannya.

Tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa sifat sesetengah individu yang menganggap dirinya sebagai pemimpin atau yang memimpin,  adalah sama dengan mereka yang menjadikan dirinya sebagai kepala  atau  ketua golongan-golongan manusia di awal tamaddun dahulu.   Pendek kata inilah satu dari sifat yang telah diwarisi sejak berkurun lamanya.  Cuma mungkin kaedah pelaksanaan fungsinya agak berbeza,   tetapi matlamat yang dituju adalah sama.

Ini adalah lumrah dunia.

Dalam senario yang lebih dekat kepada kita,  keadaan ini dapat kita saksikan wujudnya.  Hari ini dapat kita lihat pemimpin yang benar-benar berusaha untuk membawa kesejahteraan,  kecemerlangan dan kemajuan kepada masyarakat yang dipimpinnya.  Sambil itu terdapat juga peimpin yang melaksanakan sesuatu aktiviti itu semata-mata untuk kepentingan dirinya sendiri  …  untuk meraih keuntungan dan kekayaan,  dan mengukuhkan kuasa peribadinya.

Keadaan inilah yang mewarnai kehidupan satu-satu masyarakat itu.  Inilah yang mendorong masyarakat berfikir dan sentiasa aktif memikirkan perihal hidupnya,  menentukan wujudnya keseimbangan suasana yang dicetuskan oleh kehadiran dua kumpulan manusia ini yang masing-masing mempunyai agendanya.

Dan inilah tugas dan fungsi kita,   kerana kita boleh berfikir.