Site hosted by Angelfire.com: Build your free website today!
 


        UTAMA                                 MERDEKA51                 DEWAN KENAMAAN
BETAMEDONLINE
BMI TV             PRODUK DESA              PORTAL BERITA            PELANCONGAN          BMI RADIO
All Rights Reserved © Betamed ICT 2008
TOP
MERDEKA 51
TEMA PERAYAAN 2008

" Perpaduan Teras Kejayaan"
LAGU TEMA PERAYAAN
HARI MERDEKA TIBA LAGI
Disediakan oleh Sidang Pengarang BetaMed ICT.



Pada 31 Ogos 51 tahun yang lalu,  Negara kita mencapai kemerdekaannya.  Kepada yang telah sama-sama mengikuti peristiwa bersejarah itu ketika itu,  ianya merupakan satu-satunya detik penting dalam kehidupan kita yang sukar hendak kita lupakan.   Bila kita melihat sendiri atau mendengar melalui siaran radio ketika itu,  kisah bersejarah itu,  sukar hendak dibayangkan perasaan kita.   Akan tetapi rata-rata,  perasaan kita dan seluruh rakyat,  adalah yang membayangkan rasa gembira,  lega,  penuh kesyukuran bahawa kita telah bebas dan telah lepas dari belenggu penjajahan.

Kepada mereka yang telah memperjuangkan hasrat dan idaman kita hingga tercapainya kemerdekaan,  kita ucapkan jutaan terima kasih.  Sumbangan dan pengorbanan mereka tidak akan kita lupakan sehingga ke akhir hayat.

Selama 51 tahun kita telah sama-sama berusaha mencari jalan dan kaedah yang terbaik untuk mengisi kemerdekaan yang telah kita capai itu.  Banyaklah rintangan yang telah kita hadapi dan atasi.  Rasanya banyak lagi akan dihadapi di masa mendatang.   Kerana kehidupan kita dan Negara tidak berakhir di sini. 

Dalam era globalisasi,  teknologi tinggi  dan  teknologi maklumat yang kita alami hari ini,  dan akan kita lalui di masa akan datang,  banyak cabaran yang lebih rumit,  canggih dan kompleks terpaksa kita lalui.

Kepada kita yang lahir sebelum tarikh keramat 31 Ogos 1957,  dan yang sama-sama menyaksi dan melalui  usaha-usaha yang dirancang dan dilaksanakan demi membawa kehidupan yang setimpal dengan kedudukan kita sebagai warga sebuah Negara yang merdeka dan berdaulat,  kita mengerti dan dapat menghayati usaha gigih yang dilaksanakan.   Akan tetapi kepada yang lahir dan dibesarkan selepas tarikh itu,  mungkin sedikit benar yang dapat merasakan pentingnya hidup dalam Negara yang merdeka,  dan peranan serta sumbangan yang perlu dilakukan.   Ini merupakan satu cabaran kepada kita.   Cabaran untuk menanamkan semangat cintakan Negara dan bangsa.


Patriotisme dan nasionalisme,  adalah dua perkataan yang amat besar ertinya.  Akan tetapi adakah semangat ini menerap di dalam sanubari tiap lapisan masyarakat Negara hari ini.   Tahukah kita maknanya,  dan apakah yang diertikan olehnya.  Dan apa pula peranan yang dimainkan olehnya dalam kehidupan kita hari ini.

Tidak boleh dinafikan bahawa kehidupan kita hari ini  banyak dipengaruhi oleh fakta-fakta luaran … mungkin juga sedikit sebanyak oleh fakta dalaman.   Fakta luaran yang mempengaruhi hidup kita lebih merupakan fakta-fakta budaya hidup yang banyak bertumpu kepada kebendaan,  terutama yang dibawa oleh  budaya Barat.   Dalam alaf baru hari ini kita telah lupa kepada nilai-nilai murni hidup yang seharusnya kita amalkan,  iaitu yang berasaskan suasana hidup timur dan landasan yang disediakan oleh agama suci Islam.   Perebutan kuasa dan kekayaan sudah menjadi lumrah kepada sebahagian dari kita.  Ini amat merugikan.  Ia tidak boleh dinafikan juga akan mempengaruhi corak kehidupan generasi akan datang.

Rasanya tidak keterlaluan jika dikatakan di sini,  bahawa kita perlu berfikir secara serius apakah peranan yang harus kita mainkan dan sumbangan yang harus kita berikan untuk membawa kehidupan yang lebih bermakna dan bertamaddun kepada kita,  iaitu selain dari kehidupan sebagai warga yang merdeka dan berdaulat dalam ertikata yang sebenarnya.

Kita memang mempunyai pemimpin kerana  kita hidup dalam suasana demokrasi.  Tetapi kita juga perlu bertindak dan membawa perubahan kepada kehidupan kita dengan sendiri.  Atau inisiatif hendaklah datangnya dari kita sendiri.  Usaha awalannya perlulah bermula dari kita.   Ini adalah kerana kitalah yang tahu dan sedar kemampuan dan kebolehan kita.   Dengan lain-lain perkataan,  kita perlulah sama-sama memikirkan apa yang kita kehendaki untuk mencemerlang dan mensejahterakan kehidupan kita.

Kepada kanak-kanak perkataan 'Merdeka' hanya merupakan satu perkataan untuk dilaungkan.   Tahukah mereka erti sebenarnya perkataan itu.   Dan siapakah yang harus dipertanggungjawabkan untuk membawa ertinya kepada mereka.   Rasanya tugas ini,  adalah tugas kita.   Pengertian dan  kefahaman perkataan keramat ini akan membawakan penghayatan sepenuhnya,  dan inilah yang menjadi pemangkin dan petunjuk untuk mereka dalam perjalanan hidup di masa-masa mendatang.

'MERDEKA'  -  sama-samalah kita semai dan sematkan semangatnya di dalam jiwa dan sanubari tiap lapisan masyarakat Malaysia yang bertuah ini.

Wassalam.